5 Panduan Mudah Bagi Anda Yang Mahu Berniaga Perfume


Ada pepatah yang menyebut bahawa ‘ bukan senang hendak senang dan bukan susah hendak susah.’ Tetapi, jika anda sendiri mempunyai kemahuan yang tinggi untuk memulakan sesuatu haruslah seiring dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Kita kecilkan skop kita kepada perniagaan. Nanti! Jangan fikirkan perniagaan besar yang memerlukan modal banyak dan kedai yang mewah,tetapi cukup dengan perniagaan kecil dan mudah di pasar pagi yang berdekatan seiring dengan kemampuan yang ada. Tiada yang mustahil jika anda berusaha.

Mari kita lihat 5 panduan bagi anda yang mahu mulakan bisnes:

1. Mengenalpasti produk

• Anda disarankan supaya mengenalpasti dahulu produk yang ingin dijual. Adakah produk anda bersesuaian dengan keadaan pasar itu dari segi harganya, kualiti barang dan juga persaingan yang ada.

Yang paling penting, anda sendiri perlu kenal secara menyeluruh tentang produk jualan anda supaya mudah bagi anda menjawab jika ada pelanggan yang bertanya.

2. Kurangkan malu

• Untuk menjadi peniaga di pasar-pasar yang memang sinonim dengan kesesakan orang ramai, anda tidak boleh segan dan malu untuk menarik pelanggan. Anda boleh lihat sebagai contoh, peniaga-peniaga yang menjual ubat misalnya, mereka suka menggunakan pembesar suara hinggakan satu pasar boleh mendengar dan tahu tentang barang jualan mereka.

Anda boleh belajar bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan pelanggan agar mereka tertarik untuk membeli barang jualan anda.

3. Modal sendiri

• Adalah lebih baik jika anda memulakan perniagaan kecil anda ini dengan menggunakan wang simpanan sendiri. Liku-liku perjalanan anda dalam mengumpul modal perniagaaan anda itu secara tidak langsung akan mendorong anda untuk lebih bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan.

4. Jangan takut memberi ‘tester’

• Ini merupakan salah satu masalah bagi sesetengah peniaga kerana mereka takut akan mengalami kerugian sekiranya banyak memberi ‘tester’ kepada orang yang lalu-lalang.

Anda perlu ubah persepsi tersebut kerana untuk menarik pelanggan supaya membeli, anda perlu meyakinkan mereka tentang kualiti barang anda dengan cara memberi mereka cuba supaya mereka boleh membuat penilaian sendiri. Ini sebenarnya adalah salah satu cara ‘marketing’ tanpa anda sedar.

5. Tidak mudah berputus asa

• Sebagai peniaga tidak kira dengan perniagaan kecil atau besar, pasti akan ada hari di mana hasil jualan agak hambar dan mengecewakan. Tetapi, anda tidak boleh mudah menyerah sebaliknya, cuba cari titik kelemahan contohnya dari segi cara menjual atau susunan barang yang kurang menarik perhatian.

Mengenal titik lemah ini sangat penting kerana boleh membantu anda untuk meningkatkan kelemahan yang ada dan ubahkannya menjadi satu kelebihan.

Perniagaan kecil sebenarnya adalah batu loncatan bagi anda yang ingin menambah pendapatan harian. Anda hanya perlukan cara dan kaedah yang betul, jadi jangan sia-siakan peluang yang ada. Siapa yang berusaha, dia akan berjaya!