Aromaterapi, Bukan Sekadar Haruman.


Aromaterapi seringkali digunakan di spa-spa untuk memberi terapi ketenangan kepada pelangggan. Tahukah anda? Aromaterapi adalah minyak pati berasal daripada tumbuhan yang beraroma untuk menenangkan, menyeimbangkan, menyegarkan serta mendamaikan badan, minda dan jiwa.

Prinsip asas aromaterapi adalah untuk menguatkan proses penyembuhan melalui ransangan sistem imunisasi secara tidak langsung. Penggunaan minyak pati semakin berkembang dari penggunaan teraputik sehinggalah dalam penggunaan wangian.

Hasil penggunaan aromaterapi adalah bergantung kepada individu. Walaupun secara umum bersetuju dengan tindak balasnya, namun aromaterapi mungkin berbeza sifat dan ciri pada minyak pati tersebut.

Selain itu, kesan yang dialami juga berbeza pada setiap individu  walaupun menggunakan minyak pati yang sama malah, individu yang sama juga akan akan mengalami kesan yang berbeza bergantung kepada persekitaran, masa dan emosi si pemakai.

Wangian dan aroma ini sangat sebati dengan kebanyakan masyarakat purba. Gabungan damar, minyak dan haruman dari tumbuhan telah digunakan untuk keramaian, perubatan dan untuk tujuan keseronokan terutamanya dalam kalangan peradaban purba.

Seiring dengan revolusi zaman, kini di Barat, penggunaan aromaterapi telah berkembang pesat sebagai terapi alternatif. Menurut Persatuan Holistik Aromaterapi Kebangsaan, aromaterapi kini merupakan industri yang bernilai lebih 300 juta dolar di Amerika Syarikat.

Wah, bukan calang-calang! Nampaknya aromaterapi bukan sekadar haruman semata-mata, namun ia turut berkait rapat dengan aktiviti seharian setiap individu.