BUNGA BANGSA : Simbol Perpaduan


 

Oleh : Muhammad Luqman bin Ahmad Tarmizi

WhatsApp-Image-20160721(1)Mengapa bunga lazimnya dipilih sebagai simbol perpaduan? Kerana bunga merupakan lambang dan simbol universal kepada cinta, keamanan, kedamaian dan perpaduan. Sifat semulajadinya yang cantik, menenangkan dan mendamaikan melayakkan ia menjadi simbol natural kepada perpaduan bangsa, tanpa perlu penjelasan meleret-leret sebagai justifikasi.

Takrifan bangsa yang kami maksudkan pastinya tidak mengambil definisi dari sudut ras, iaitu satu konstruk sosial mengkelaskan manusia mengikut persamaan dan perbezaan karekteristik fizikal. Ia bukan juga dari sudut etnik iaitu menurut warisan sepunya yang dikongsi sekelompok manusia. Konsep bangsa dalam konteks artikel ini juga bukanlah sepertimana konsep bangsa Melayu yang ditakrifkan oleh Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘rakyat yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu’ yang sebenarnya berbaur kepentingan politik pada masa itu. Bahkan bangsa yang kami maksudkan ialah menurut apa yang didefinisikan oleh Kamus Dewan edisi keempat:

‘penggabungan menjadi satu, pertautan dan pertemuan, hati bermuafakat benar dan seia sekata, atau satu kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan’

Bangsa dalam konteks ini bukan bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, Dayak atau Melanau; bangsa yang dimaksudkan ialah Bangsa Malaysia.

BANGSA MALAYSIA

Konsep Bangsa Malaysia ini telah diperkenalkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1995 WhatsApp-Image-20160720sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, dengan matlamat untuk melahirkan rakyat yang mampu mendefinisikan diri mereka kepada negara, berbahasa Melayu dan menerima Perlembagaan Persekutuan (sebagai undang-undang tertinggi negara); dalam kata-kata beliau sendiri “people being able to identify themselves with the country, speak Bahasa Malaysia (the Malay language) and accept the Constitution…”.

malaysia-people1Konsep ini meskipun sudah agak lama diusulkan (kira-kira 21 tahun lepas), ia masih belum dibahaskan dengan tuntas, dan apabila berbicara soal bangsa, konsep Bangsa Malaysia ini jarang sekali mendapat tempat dan tumpuan sewajarnya. Bahkan menurut pengetahuan penulis, definisi yang jelas mengenai konsep ini juga masih belum diberikan oleh mana-mana pihak. Namun, bukanlah artikel ringkas ini wahana yang sesuai untuk memberikan definisi bagi konsep besar ini; tujuan penulis tidak lain hanyalah untuk membawa kembali konsep ini ke tengah gelanggang perdebatan mengenai perpaduan nasional dan pembangunan negara agar ia dapat menghasilkan suatu dampak positif.

BUNGA RAYA, BUNGA BANGSA

WhatsApp-Image-20160721(2)Pada tanggal 28 Julai 1960, bunga raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosasinensis secara rasminya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Hajj.

Lima kelopak yang terdapat pada bunga raya melambangkan lima Rukun Negara yang menjadi teras berdiri tegaknya negara kita:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Jika dteliti, kerosakan yang berlaku dalam masyarakat hari ini boleh disimpulkan diatas dasar penentangan dan pengabaian mereka terhadap Rukun Negara itu sendiri. Pegangan masyarakat terhadap agama kian luntur, rakyat dan pemimpin memperlecehkan perlembagaan, undang-undang tidak dihormati dan ditakuti serta hilangnya adab dan tatasuila dalam kehidupan.

Kepelbagaian jenis dan spesis bunga raya pula merupakan simbolik kepada pluraliti kaum, etnik dan agama di Malaysia. Ini boleh disimpulkan melalui falsafah ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity). Falsafah yang diinspirasikan daripada bunga raya ini mampu dicapai sekiranya kumpulan-kumpulan yang berbeza ini boleh mengecil-kecilkan perbezaan antara mereka, dan membesar-besarkan persamaan sepunya sesama mereka. Kesatuan dan perpaduan tidak semestinya memerlukan keseragaman, kesamaan dan ketunggalan; yang jauh lebih penting ialah persefahaman, toleransi, saling hormat-menghormati dan tanggungjawab.

MEMBUNUH KECURIGAAN

WhatsApp-Image-20160718(1)Saya senang sekali memetik sajak Sasterawan Negara Pak Usman Awang yang bertajuk ‘Pemuda dan Gadis Tionghua’:

“Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?”

Kalam ini cukup tepat sekali. Apakah suu’ zhon itu masih bersarang di minda ketika kita saling melontarkan senyuman? Bukankah segala syak wasangka telah terhapus tatkala kita bertegur dan bersalam-salaman? Tidakkah segala stereotaip dan persepsi negatif yang tidak berasas telah musnah sama sekali, setelah kita bertukar pendapat dan fikiran?

Dalam mengangkat nilai perpaduan antara agama sebagai contoh, umat Islam harus menghapuskan stereotaip dalam fikiran mereka (jika ada), bahawa umat Kristian itu kerjanya hanya mahu memurtadkan orang Melayu dan Islam dari agamanya. Manakala umat Kristian dipihak yang lain, perlu membuang persepsi (jika ada) bahawa umat Islam itu kerjanya hanya mahu mengebom manusia dan meruntuhkan bangunan-bangunan yang ada.

KETAMAKAN MUSUH PERPADUAN

WhatsApp-Image-20160718Ketamakan merupakan salah satu faktor utama runtuhnya bangunan perpaduan dan mahligai keamanan sesebuah negara dan tamadun.

Kata Mahatma Gandhi: “The world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed.” Dunia ini mencukupi untuk memenuhi keperluan setiap manusia, tapi tidak ketamakan mereka.

Disiplin Jaringan Berintegriti yang diamalkan dan diterapkan dalam kalangan pahlawan Kasturi Emas merupakan menifestasi kepada nilai perpaduan dan kerjasama yang begitu penting dalam kejayaan sesebuah tamadun. Sifat tamak, materialistik dan pentingkan diri sendiri merupakan musuh utama perpaduan; dan setiap musuh perpaduan merupakan musuh kami juga.

Hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan ketamakan, kebencian dan permusuhan, penuhilah ia dengan toleransi, perdamaian dan keamanan.

Bunga Raya, Bunga Negara, Bunga Bangsa!