Kesegaran Tanpa Batasan


Setiap individu mahukan suasana rumah yang segar dengan bau yang menyenangkan. Jika anda tinggal dikawasan kampung, hal ini tidak membimbangkan kerana kawasannya luas dan mempunyai udara yang bersih.

Tetapi, cuba bayangkan jika anda berada di kawasan bandar, rumat flat dan seumpamanya yang kebanyakannya tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.

Bau kepam, busuk atau bau dapur selepas memasak pasti sahaja akan memeritkan hidung anda. Jadi, bagaimana anda mahu mengatasinya? Baiklah, di sini kami ingin kongsikan kepada anda 6 cara paling mudah hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di sekeliling anda.

Mari kita cuba!

 


1. Daun pandan

Daun pandan sangat terkenal dalam kelebihannya dalam mnyedapkan masakan. Selain itu, daun pandan boleh membantu anda untuk mengatasi masalah bau di dalam kediaman anda. Hirisan daun pandan ini boleh memberi aroma yang semerbak dan ia boleh bertahan sehingga dua minggu.

Letakkan saja hirisan daun pandan di tempat-tempat yang kebiasaanya berbau kepam seperti rak kasut atau almari. Bukan itu sahaja, malah aroma pandan ini boleh membantu anda untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.

 

2. Bunga mawar

Aroma bunga mawar bukan sahaja harum malah boleh memberi kesegaran di segenap rumah anda. Selain daripada menutup bau-bau yang kurang enak,menurut kajian aroma mawar juga boleh membantu anda untuk mendapatkan emosi yang stabil dan mengurangkan tekanan anda. Barulah anda tidak tertekan lagi apabila tiba di rumah setelah penat seharian bekerja.

 

3. Serai wangi

Siapa yang tidak kenal serai? Di kampung-kampung biasanya ia ditanam di belakang rumah sahaja. Tanpa perlu berbelanja lebih, aroma serai boleh membantu untuk mengharumkan kediaman anda. Apa yang lebih menarik, bukan sekadar bau yang wangi sahaja, malah serai wangi juga boleh membantu anda untuk menghalau nyamuk dan juga serangga-serangga kecil.

Bau serai wangi turut berupaya menghilangkan tekanan dan kurangkan gangguan fikiran seseorang. Secara tidak langsung, penghuni rumah akan menjadi lebih produktif.

 

4. Kayu manis dan cengkih

Dua bahan ini sangat berguna di dapur. Boleh dikatakan setiap rumah wajib ada dua bahan ini. Tetapi, apakata kali ini anda cuba manfaatkannya dengan cara yang berbeza. Rebuskan dua bahan ini dengan kuantiti yang secukupnya dengan air. Setelah mendidih, tunggu sehingga air rebusan sejuk dahulu.

Kemudian, bolehlah gunakannya untuk mengelap kabinet, meja makan, cermin dan juga lantai. Ia boleh menggantikan sabun pencuci lantai anda dengan kos tidak sampai rm2.00. Menarik bukan?

 

5. Daun pudina

Kita selalu sahaja mendengar tentang kesegaran daun pudina di dalam ubat gigi. Ramai juga yang menggunakannya. Cuba anda bayangkan jika anda menikmati kesegaran itu di seluruh rumah anda. Sangat mudah!

Anda hanya perlu rendam daun pudina di dalam bekas dengan air yang secukupnya dan letakkannya di tengah-tengah rumah. Kesegaran daun pudina itu boleh bertahan sehingga tiga hari.

 

6. Limau nipis atau limau kasturi

Kedua-dua limau ini mempunyai banyak khasiatnya. Ianya sinonim dengan penggunaannya untuk menghilangkan masalah kelemumur dan masalah rambut. Baunya yang kuat dan wangi boleh membantu anda untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan terutama di dalam peti.

Bau limau nipis ini juga boleh mengharumkan segenap ruangan. Apa yang lebih istimewa, jika anda terasa lesu dan letih, anda boleh menggunakan limau ini sebagai tambahan dalam air mandian anda. Bukan anda sahaja yang merasai kesegarannya, malah bilik air anda juga akan berbau wangi dan harum.

 

Sebenarnya, jika kita lebih peka dengan alam semulajadi, banyak faedah yang akan kita perolehi daripadanya. Bahan-bahan ini juga sangat membantu dalam aktiviti seharian kita tanpa perlu melibatkan kos yang tinggi. Jadi, manfaatkanlah sebaiknya!